
Ini teknik yang biasa diamalkan pada hari raya. Rugi kalau kita amalkan dua kali sahaja setahun. Amalkan teknik ini sepanjang masa untuk dapat lebih keuntungan.
Menggunakan teknik ini, kerugian dapat ditukar jadi keuntungan. Ini yang kami amalkan di Bookcafe.com.my
CABARAN KEDAI BUKU ONLINE
Antara cabaran di kedai buku online adalah kesilapan & kerosakan semasa pemprosesan order.
1. Buku rosak dalam proses penghantaran.
2. Kuantiti buku yang diterima terkurang atau terlebih.
3. Pembeli buat satu order sahaja, tetapi dua bungkusan order dihantar ke rumah.
4. Tajuk buku yang dimasukkan salah. Banyak buku mempunyai tajuk yang seakan-akan sama.
Semua ini menaikkan kos, menggandakan kerugian, mendatangkan kemarahan & menghilangkan kepercayaan pelanggan.
Dapat kurangkan kerugian sudah cukup baik. Dapat tukar kerugian jadi keuntungan, inilah yang kita mahukan.
Apa yang kami buat untuk tukar kerugian jadi keuntungan?
1. MINTA MAAF & MINTA DUIT
Order yang tersalah hantar atau tersilap kuantiti, kami minta maaf, jelaskan situasi & pujuk pelanggan untuk beli. Tambahan diskaun diberikan.
Sebahagian besar pelanggan tidak kisah untuk membelinya. Ingatkan kena maki, tapi dapat ucapan terima kasih lagi. Buku yang tersalah hantar, rupa-rupanya sesuai dengan selera pembaca.
2. TAMBAH ORDER & KURANGKAN KOS
Buku yang tidak cukup, kami akan hantar bersama-sama order seterusnya untuk kurangkan kos. Buku percuma diberi sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.
Dua cara ini perlu buat secara berhikmah. Kalau lunak lidah berbicara & menyusun kata, dapatlah tambahan order. Salah cara, kena maki. Padan muka. :p
Kadang-kadang berjaya, kadang-kadang kena marah dan perlu kembalikan duit pelanggan. Yang penting, tanya & berunding dengan pelanggan. Tak tanya? 100% pasti rugi.
3. JANGAN BUAT SILAP
Ini yang paling penting, jangan buat silap. SOP & semakan kualiti perlu ditambah baik.
Jika tersilap juga, baru amalkan dua teknik di atas.
Memujuk pelanggan untuk membeli order yang tersilap hanyalah penyelesaian sementara. Punca sebenar masalah perlu diatasi.
Bermula daripada satu order, walaupun tersilap hantar, akhirnya pelanggan menjadi setia dan buat order berulang-ulang.