
Kenapa perlu bayar kalau ada benda yang percuma? Betapa ramai peniaga online yang sudah berhabis ribuan ringgit semata-mata mahukan alat marketing yang hebat untuk menaikkan sales. Kerja marketing sememangnya perlu bakar duit, namun jangan bakar duit secara sia-sia bagi perkara yang tidak perlu.
Peringkat permulaan, manfaatkan benda percuma sebaik mungkin. Hanya perlu luangkan masa beberapa jam untuk belajar guna benda yang percuma. Kosnya lebih murah dan duit yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih penting.
Benda percuma ini boleh membantu memudahkan kerja marketing dan menaikkan sales. Ia sangat sesuai untuk kurangkan kos bagi orang yang baru memulakan bisnes online & ecommerce. Manfaatkan benda-benda percuma ini sebaik mungkin.
AMARAN KERAS: Kalau benda percuma pun kita tak reti guna, jangan harap kita akan jadi hebat dengan benda berbayar. Kalau guna benda percuma pun tak boleh buat sales, maka lupakan hasrat untuk guna benda berbayar.
Berikut adalah 8 alat marketing percuma yang sangat rugi jika diabaikan. Penggunaan 8 alat percuma ini lebih optimum jika kita mempunyai website sendiri. Namun, yang belum ada website juga boleh memanfaatkannya.
1. CHATFUEL
Sekarang adalah zaman artificial intelligence & automation. Chatfuel adalah chatbot yang berinteraksi dengan pelanggan kita di Facebook messenger secara automatik. Chatbot ini akan memberi balasan secara automatik mengikut kehendak pelanggan yang sudah ditetapkan mengikut perkataan atau butang klik tertentu.
Paling menarik, direct blast ke inbox Facebook Messenger juga disediakan. Ini adalah lubuk duit yang terlalu bernilai untuk diabaikan. Majoriti rakyat Malaysia mempunyai Facebook Messenger. Promosi dan kempen marketing kita terus masuk ke inbox messenger mereka. Chatfuel juga boleh digunakan untuk fungsi customer services, akan akan menjawab pertanyaan pelanggan serta menyelesaikan masalah mereka.
Kita juga boleh menghantar automatic private message kepada pelanggan yang meninggalkan komen dengan keyword tertentu pada post di Facebook pages kita.
Pakej Chatfuel yang percuma sekalipun boleh dihubungkan dengan banyak Facebook Pages, waktu promosi mahu dihantar juga boleh dijadualkan lebih awal, namun dihadkan untuk 1,000 subscribers sahaja.
Klik: chatfuel.com
Cadangan alternatif untuk fungsi yang sama: manychat.com
2. PUSHCREW
Ini untuk web & mobile push notification. Pushcrew boleh menghantar real time notification & promosi kita terus kepada subscribers, walaupun ketika mereka tidak membuka website kita. Notification akan terus keluar sebaik sahaja komputer ataupun smartphone mereka mempunyai sambungan internet.
Pakej percuma disediakan untuk 2,000 subscribers. Kita juga boleh meletakkan logo syarikat & mengubah suai ayat promosi mengikut kreativiti sendiri. Menggunakan Pushcrew, kadar klik ke website agak tinggi kerana ia terus muncul depan mata pelanggan di bahagian skrin utama laptop atau smartphone.
Klik: pushcrew.com
Cadangan alternatif untuk fungsi yang sama: pushengage.com & onesignal.com
3. CANVA
Belum mampu mengupah designer sendiri? Mahu upah freelancer pun masih berkira? Maka, Canva sememangnya sesuai. Semudah drag-and-drop, kita boleh buat sendiri poster promosi seperti seorang designer profesional.
Canva menyediakan akses kepada jutaan gambar, tulisan & template yang sedia diedit mengikut kreativiti masing-masing.
Klik: canva.com
4. SURVEY MONKEY
Ini adalah alat untuk buat survey dan mendapatkan maklum balas daripada pelanggan. Data yang terkumpul juga boleh dianalisis dengan mudah.
Daripada survey yang ringkas sehinggalah survey yang komplikated, Survey Monkey memenuhi kriteria yang diperlukan. Contoh survey sedia ada terus boleh diedit untuk disesuaikan dengan bisnes kita.
Klik: surveymonkey.com
5. MAILCHIMP
Subscribers adalah database dan lubuk duit kita. Money is in the list. Kalau ada terdengar cakap-cakap yang mengatakan email marketing sudah mati, larilah jauh-jauh. Email marketing adalah teknik pemasaran yang terbukti berkesan dan masih releven sehingga kini.
Gunakan Mailchimp untuk mengumpul email secara tersusun & menghantar email secara serentak kepada semua subscribers kita. Tak perlu pening mahu design cantik-cantik, hanya perlu gunakan template sedia ada. Fungsinya sangat mudah untuk digunakan.
Masih kumpul email secara manual guna excel? Beralihlah ke Mailchimp sekarang. Percuma untuk kumpul sehingga 2,000 subscribers dan hantar 12,000 email sebulan.
Klik: mailchimp.com
Cadangan alternatif untuk fungsi yang sama: mailerlite.com & enginemailer.com
6. MAILMUNCH
Ini untuk buat popup, landing page atau borang untuk dapatkan email subscribers. Siap ada fungsi popup yang terbang berpusing & bergetar-getar lagi. Hasilnya memang cantik & profesional.
Mailmunch boleh digunakan secara optimum bersama Mailchimp atau paltform yang lain. Pakej percuma sahaja sudah memadai kerana kita diberi akses untuk unlimited form dan boleh digunakan pada pelbagai website yang berbeza.
Klik: mailmunch.co
7. MOTION MAIL
Ayat promosi yang berkesan adalah, “Tawaran terhad, masa semakin suntuk. Promosi akan ditutup sejam sahaja lagi.”
Lagi tambah berkesan kalau gunakan countdown timer. Gelabah jadinya pelanggan kita takut terlepas harga promosi.
Itulah fungsi motionmail, untuk buat countdown di website atau dalam email promosi kita.
Klik: motionmailapp.com
8. ZOTABOX
Zotabox menyediakan lebih daripada 15 fungsi untuk menaikkan sales ataupun meningkatkan jumlah subscribers. Namun, Zotabox hanya boleh digunakan sekiranya kita ada website sendiri.
Dengan hanya beberapa klik & proses integrasi yang mudah, pelbagai fungsi hebat seperti easy popup, notification box, facebook live chat & sebagainya akan muncul di website kita.
Klik: zotabox.com
Manfaatkan info percuma & benda percuma ini sebaik mungkin. Rajinkan diri untuk belajar & cuba sendiri.
Malas & tak ada masa, tapi ada duit?
Boleh bayar saya. 🙂