8 Cara Terbaik untuk Terima Bayaran & Senarai Payment Gateway di Malaysia

“Kami terima CASH sahaja.”

Ini mungkin adalah kesilapan paling besar untuk sesebuah bisnes. Jangan terperangkap dengan mentaliti kolot yang hanya mahu terima cash sahaja.

Duit adalah angka yang boleh diterima dalam pelbagai bentuk, bukan semata-mata wang kertas atau syiling. Sebagai peniaga atau pemilik bisnes, mempelbagaikan cara bayaran dan memudahkan pelanggan adalah kritikal untuk kelangsungan bisnes.

Peniaga gerai tepi jalan atau buat bisnes online dari rumah sekalipun boleh gunakan pelbagai cara untuk terima bayaran daripada pelanggan. Mulakan dengan cara yang mudah, ramai orang guna & tiada kos tersembunyi atau kos yang paling minimum.

Peniaga online pula boleh terima semua cara yang tersenarai di sini & lebih memudahkan jika gunakan payment gateway untuk terima bayaran secara automatik di website anda.

BONUS: Peniaga online yang tiada website pun boleh gunakan payment gateway. Ada fungsi payment form & button yang hanya perlu kongsikan link sahaja untuk terima bayaran. Jadi, yang berniaga online di akaun Facebook, Instagram ataupun Whatsapp sahaja pun boleh gunakan payment gateway untuk mudahkan cara bayaran.

Contoh bayaran di Whatsapp menggunakan SenangPay

8 CARA TERBAIK UNTUK TERIMA BAYARAN

Pelbagaikan cara bayaran dan memudahkan pelanggan untuk buat bayaran.

1. Tunai (Cash)

CASH IS KING. Cara bayaran secara tunai tidak perlukan huraian yang panjang lebar. Orang gila pun faham betapa hebatnya kuasa cash.

Namun, menerima bayaran secara tunai sahaja mungkin adalah kesilapan paling besar untuk sesebuah bisnes. Mempelbagaikan cara bayaran adalah satu langkah untuk menaikkan sales & memberi kemudahan kepada pelanggan.

Kelebihan menerima cash:

1. 100% hasil jualan diterima oleh peniaga.
2. Tiada caj bayaran kepada orang tengah atau penyedia servis.
3. Aliran tunai bagus, duit boleh diguna atau dikeluarkan pada bila-bila masa.
4. Tak payah pening-pening, semua orang faham pasal cash.

Kekurangan menerima cash sahaja:

1. Risiko duit hilang kerana tersalah letak, dicuri ataupun dirompak.
2. Perlu dibawa ke bank untuk dimasukkan ke dalam akaun.
3. Risiko ditipu dengan duit palsu.
4. Risiko duit tidak laku kerana wang kertas terkoyak.
5. Perlu sediakan duit kecil & duit syiling untuk bayaran baki.

2. Online Transfer

Tiada cash dalam dompet atau tak cukup duit adalah situasi yang selalu terjadi. Tampal siap-siap nombor akaun bank untuk mudahkan pelanggan transfer terus duit ke akaun bank kita. Lagipun, instant bank transfer sudah tidak dikenakan apa-apa caj. Memang memudahkan kedua-dua pihak.

AWAS: JANGAN TERTIPU

Hati-hati dengan penipuan yang menggunakan teknik “Future Transfer” atau “Scheduled Transfer”. Resit bukti bayaran adalah sah, tetapi duitnya belum masuk ke akaun bank kita. Pelanggan boleh batalkan transaksi pada bila-bila masa atau transaksi terbatal secara automatik jika mereka tiada baki yang mencukupi.

Pastikan semak akaun bank untuk mengesahkan duit sudah masuk ke akaun kita.

3. Deposit Tunai (Manual Bank In)

Secepat manapun zaman berubah & teknologi makin hebat, tetap akan ada insan-insan terpilih yang masih selesa menggunakan cara konvensional, iaitu pergi ke mesin deposit tunai & masukkan duit untuk buat bayaran.

Terima sahajalah. Duit tetap duit, asalkan masuk ke akaun bank kita.

AWAS: JANGAN TERTIPU.

Pastikan semak akaun bank untuk mengesahkan duit sudah masuk ke akaun kita. Bukti bayaran & resit pindahan wang boleh diedit dengan mudah.

4. Cek

Kebanyakan syarikat atau individu yang memiliki akaun semasa, lebih selesa menggunakan cek.

Pastikan nama syarikat & jumlah bayaran yang tertulis atas cek adalah betul.

AWAS: JANGAN TERTIPU

Tengok tarikh cek betul-betul. Pastikan tarikh yang tertulis pada cek adalah tarikh hari cek itu ditulis, bukan tarikh masa depan. Jangan terima “post-dated cheque” kalau tidak mahu tercekik aliran tunai. Post-dated cek adalah cek yang hanya boleh ditunaikan pada masa depan mengikut tarikh yang tertera pada cek.

Untuk elakkan penipuan atau cek tendang, pastikan cek sudah ditunaikan & duit sudah masuk dalam akaun bank kita, barulah teruskan urus niaga. Kebiasaanya, cek mengambil masa 2 hingga 3 hari bekerja untuk ditunaikan & masuk ke akaun bank kita.

5. Kad Kredit / Kad Debit

Penggunaan kad sangat aktif & digemari oleh pelanggan. Kad kredit menawarkan pelbagai bonus, mata ganjaran (point), hadiah & pulangan tunai (cashback) kepada penggunanya. Pengguna kad juga boleh memilih skim bayaran ansuran (installment) bagi jumlah bayaran yang besar.

Namun, tidak semua peniaga mahu ataupun mampu menerima kad kredit kerana ada bayaran bulanan & komitmen jualan tertentu untuk menyewa terminal kad kredit.

Setiap transaksi menggunakan kad juga dikenakan caj. Pihak penyedia servis juga hanya akan memasukkan duit (settlement) ke akaun bank kita mengikut tarikh yang tertentu.

6. QR Pay

QR Pay adalah cara bayaran yang memerlukan aplikasi kamera atau qr code scanner menggunakan smartphone & sambungan internet.

Yang paling banyak digunakan adalah Maybank QR Pay. Pembeli hanya buka apps Maybank2u dan terus buat bayaran. Peniaga hanya perlu tampal QR code di premis kedai atau simpan dalam smartphone untuk discan oleh pembeli.

7. E-Wallet

Ini adalah trend yang semakin popular & menjadi pilihan para pembeli. Ia mengubah cara berbelanja secara tanpa kad & tanpa tunai (cardless & cashless).

Pembeli hanya perlu buka apps dalam smartphone untuk membuat bayaran. Peniaga pula hanya perlu tampal QR code atau sediakan terminal bayaran yang menerima e-wallet.

Penyedia e-wallet seperti Boost, Touch n Go, Wechat Pay, Setel, Grab Pay dan banyak lagi berlumba-lumba menawarkan pelbagai jenis shake reward, cashback, diskaun & bermacam-macam promosi.

Bayar secara tunai, pembeli hanya dapat barang. Bayar secara e-wallet, pembeli dapat barang, dapat cashback & pelbagai ganjaran daripada pihak e-wallet.

Peniaga juga dikenakan caj per transaksi yang sangat minimum & sehingga kini, kebanyakan e-wallet masih belum mengenakan apa-apa caj kepada peniaga. Settlement juga sangat cepat, hanya sehari bekerja.

Adalah satu kerugian yang nyata sekiranya pembeli atau peniaga tidak mahu menerima cara bayaran e-wallet. Sesetengah e-wallet juga sudah boleh diintegrasi terus di website ecommerce.

8. Payment Gateway

Istilah payment gateway (gerbang pembayaran) lebih popular di kalangan peniaga online yang memiliki website ecommerce.

Payment gateway adalah orang tengah yang menyediakan servis memproses & menerima pelbagai jenis bayaran. Mereka menjadi penghubung antara pihak peniaga, pembeli & pihak bank.

Kebanyakan payment gateway datang dengan pakej yang lengkap, menerima pelbagai jenis kad kredit, menerima pelbagai jenis online banking & boleh diintegrasi dengan pelbagai jenis website.

Untuk transaksi menggunakan payment gateway di website, bayaran boleh diterima secara automatik pada bila-bila masa. Proses pengesahan bayaran & penukaran status order juga berlaku secara automatik. Memang memudahkan.

Website yang tidak dilengkapi dengan payment gateway adalah website yang kurang sempurna.

Menggunakan payment gateway, kita juga boleh menerima bayaran daripada luar negara dalam apa jua jenis matawang.

BONUS: Peniaga online yang tiada website pun boleh gunakan payment gateway. Ada fungsi payment form & button yang hanya perlu kongsikan link sahaja untuk terima bayaran.

SENARAI PAYMENT GATEWAY DI MALAYSIA

1. Billplz

2. Senangpay

3. Maybank2u Pay

4. Toyyib Pay

5. Pay.my

6. MOLPay

7. iPay88

8. eGHL

9. Paydibs

10. Paypal

11. Braintree

12. 2checkout

13. 2C2P

Mahu Pilih Payment Gateway Mana?

Untuk peniaga online yang baru bermula, fokus pada buat sales.

Jangan peningkan kepala mahu banding semua jenis payment gateway yang ada. Jangan bazirkan duit untuk bayar servis yang anda sebenarnya tidak perlukan lagi dalam tempoh awal berbisnes.

Kayomu mencadangkan anda untuk mulakan bisnes dengan dua payment gateway yang berikut sahaja. Ciri-ciri yang diletakkan adalah bagi pakej yang paling asas sahaja.

1. BILLPLZ

Yuran Tahunan:

FREE

Jenis Bayaran Yang Diterima & Caj Per Transaksi:

– Online Banking (FPX): Caj tetap RM1.50

– Credit Card (Paypal): 3.9% + RM2 bagi transaksi domestik & 4.4% + RM2 bagi transaksi antarabangsa

Minimum Settlement:

RM0.01

Tempoh Settlement:

1 hari bekerja berikutnya, kecuali hari Jumaat bagi FPX & manual transfer bagi Paypal.

Daftar Billplz di sini.

2. SENANGPAY

Yuran Tahunan:

RM300

Jenis Bayaran Yang Diterima & Caj Per Transaksi:

– Online Banking (FPX): 1.5% atau minimum RM1, yang mana lebih tinggi.

– Credit & Debit Card: 2.5% atau minimum RM0.65, yang mana lebih tinggi.

Minimum Settlement:

RM100

Tempoh Settlement:

Setiap hari Rabu & Jumaat

Daftar SenangPay di sini.

BONUS

Pengguna wordpress & woocommerce boleh gunakan Billplz & Senangpay secara serentak.

Gunakan plugin Billplz & Senangpay Changer untuk maksimumkan keuntungan & pilih caj terendah mengikut jumlah transaksi tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *